Thursday, July 24, 2014

M A S - Masih Ada Senyuman, Masih Ada Sayang, Masih Ada Sinar…

Coretan ketika menaiki pesawat MH151 dari Jeddah ke Kuala Lumpur

M A S - Masih Ada Senyuman, Masih Ada Sayang, Masih Ada Sinar…

Teruskanlah menghiasi wajahmu dengan senyuman yang selama ini telah mengharumkan nama Malaysia.

Perjalanan pulang untuk berhari raya dari Jeddah semestinya membawa keriangan di hati. Penerbangan MAS pula pasti menjadi pulihan sebahagian besar rakyat Malaysia. Perasaa...n untuk menaikan pesawat MAS tidak pernah terusik dengan isu keselamatan dan nasib para penumpang. Namun, kali ini ianya agak berbeza dari penerbangan sebelum ini.

Sewaktu tiba di kaunter daftar masuk, kelihatan ramai penumpang sama seperti perjalananku sejak 2 tahun berulang-alik di antara Jeddah dan Kuala Lumpur. Tidak kelihatan sedikit pun kerisauan untuk mereka terus memilih MAS. Persolan seperti ini pun tidak pernah terlintas di fikiranku sejak sekian lama memilih MAS sebagai penerbangan pilihan hati.

Sudah semestinya, 2 insiden terkini yang telah menimpa Malaysia membuatkan ianya menjadi sesuatu yang berlegar di mindaku. Maaf kerana aku tidak menamakannya sebagai insiden yang menimpa MAS.

Sebaik sahaja aku melangkah untuk menaikai pesawat, terlintas di hati untuk merenung sejenak badan dan ekor pesawat Boeing 777-200 yang bakal dinaiki. Sebaliknya, imej MH17 yang tiba-tiba bermain di fikiranku, tetapi bukanlah dalam bentuk seperti ini. Wajah kesedihan yang asyik menjadi paparan CNN yang sebenarnya mengusik mindaku buat seketika. Namun, hanya selepas beberapa langkah manaiki tangga pesawat, ianya terus hilang sebaik aku melihat wajah seorang pramugara yang menunggu di muka pintu MH151. Terus aku berbisik pada diri sendiri bahawa ini bukanlah MH 370 atau MH017.

Sememangnya imbasan itu berlaku begitu pantas. Sebenarnya tidaklah pula aku merasakan sebarang kebimbangan tentang tahap keselamatanku dan penumpang lain. Sebaliknya aku masih berbangga dengan MAS yang masih berjaya meneruskan usahanya untuk menjadi satu penerbangan pilihan. Khususnya, bagi perjalanan ke Malaysia dan negara sekitarnya yang memilih KLIA sebagai satu hub yang amat berkesan bagi rantau ASEAN.

Sedikit perkongsian yang mungkin sensitif kepada warga MAS sekiranya aku mencoretkan sedikit suasana perjalanan kali ini. Bukan untuk membuat komentar yang negatif, tetapi sekadar berkongsi kesedihan warga MAS yang tidak dapat diselindungi. Dari riak wajah mereka memang terbayang satu kesedihan. Tidak mampu untuk aku menidakkan apa yang dilihat sendiri. Senyuman mereka sememangnya tidak seperti sebelum ini.

Walau pun sebelum ini, ada kata-kata sinis yang menggelarkan senyuman pramugara dan pramugari MAS sebagai senyuman terpaksa atau senyuman tugas hakiki, tetapi ianya tidak menjadi sebarang kekurangan atau kepincangan kepada tugas dan layanan mereka. Mungkin sebab senyuman mereka lebih mirip kepada satu piawaian atau SOP. Aku tetap selesa dan sering tidak lupa untuk membalas senyuman mereka.

Tidak dinafikan, senyuman mereka memang berbeza pada kali ini. Aku perhatikan berulang kali untuk menjadikan ianya satu kepastian. Memang aku tidak jauh tersasar dari apa yang dijangkakan. Hasil daripada ucapan takziah yang diberikan oleh isteriku kepada salah seorang pramugara telah mengesahkan apa yang bermain di fikiranku sejak tadi.

Perbualan itu mengesahkan bagaimana mereka memang turut dan masih bersedih kerana mereka memang saling mengenali krew pesawat MH370 dan MH017. Mereka seumpama satu keluarga besar yang mengenali ahli keluarga masing-masing. Perbualan pendek itu juga tidak terlupa menceritakan kisah xxx Singh yang menukar saling tugasan dengan isteri beliau. Memang amat menyedihkan.

Terbayang bagaimana aku juga pernah kehilangan seorang rakan sekerja tetapi bukanlah dalam satu insiden yang tragis sebegini rupa. Malah tidak pula seramai ini dalam sekali gus sewaktu menjalankan tugas. Sememanglah benar apa yang dikatakan prumugara berkenaan, “Selama ini tak pernah rasa takut untuk keluar bertugas sebegini.”

Seandainya mereka merasa bimbang dan takut, apatah lagi perasaan ahli keluarga mereka yang ditinggalkan sewaktu keluar bertugas. Saya sendiri tidak pernah melalui perasaan seumpamanya, walaupun pernah merasa bimbang seandainya kita dipanggil kembali olehNYA sewaktu keluar bertugas. Besar sungguh ujian dariNya untuk warga MAS dan ahli keluarga mereka. Semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka semua dengan berkat doa dari seluruh rakyat Malaysia dan kemuniti sejagat.

Warga MAS sekalian, teruskanlah senyuman keihlasanmu itu. Kami tetap bersama merasai kesedihan yang kalian lalui. Senyumlah demi mengenangkan pengorbanan seluruh warga MAS yang telah sekian lama mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Izinkan kami turut bergkongsi kesedihan ini. Seandainya berat mata yang memandang, berat lagilah bahu yang terpaksa memikulnya. Namun, yang pasti, kami tetap bersamamu, MAS.

MAS – Masih Ada Senyuman, Masih Ada Sayang, Masih Ada Sinar

Malaysia Airliness
................

No comments:

Post a Comment