Pengorbanan beberapa anggota kerja TNB, samada secara individu atau bersama keluarga, ke Arab Saudi, Kuwait dan Pakistan sememangnya demi tugas yang diamanahkan. Kehidupan pasti berbeza dengan suasana di kampong halaman, terutamanya bila menyambut Ramadhan dan berpuasa di perantauan.
Demikian juga dengan kami yang menetap di Jeddah kerana penugasan di Shuaibah Independent Water & Power Plant (SIWPP). Sememangnya ramai rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, namun kami memilih untuk tinggal bersama komuniti TNB di sebuah kawasan perumahan yang khusus dijadikan penempatan untuk golongan pekerja dari luar negara. Di sinilah tempat bermulanya penginapan orang-orang TNB sejak awal projek di sini yang diketuai oleh Dato’ Mohd Nazri beberapa tahun dulu.
Bulan Ramadhan kali ini mengunjung kami di permulaan musim panas yang sedang menuju ke kemuncaknya. Suhu mula mencecah sehingga 40DegC jauh sebelum masuknya waktu zohor. Cuaca kering dengan tahap kelembanan yang agak rendah, agak memeritkan jika dibandingkan dengan cuaca di Malaysia. Namun, kekuatan dalaman dari Allah, tetap menjadikan suasana berpuasa di sini agak menarik. Dijangkakan suhu akan meningkat lebih daripada 45 oC di penghujung Ramadhan nanti.
Di sepanjang bulan ramadhan, pihak berkuasa Arab Saudi mengurangkan tempoh waktu bekerja dari 8 jam ke 5 jam sehari. Manakala, akta yang berkatian pula memperuntukkan tempoh waktu bekerja tidak melebihi 6 jam sehari di bulan ini. Maka waktu fleksi diamalkan di syarikat kami dengan tempoh bekerja selama 6 jam bemula dari jam 7 sehingga 10 pagi mengikut pilihan masing-masing. (Jangan minta TNB mengamalkannya yang sama pula).
Perjalanan sejauh 120 km ke stesen tempat berkerja agak memenatkan sewaktu berpuasa. Pemanduan sehingga 1.5 jam sehala, melalui padang pasir di bawah panas terik matahari pasti memenatkan dan kadang-kadang boleh menjadi mengantuk. Sudah pasti pilihan untuk mempercepatkan perjalanan adalah dengan memandu di antara 160 hingga 180km/jam. Maklumlah, kebanyakan kenderaan di sini memang berkuasa besar. Kawasan lapang di sisi lebuhraya juga membuatkan kita kurang merasai kelajuan jika dibandingkan dengan pemanduan di Malaysia. Namun, kena juga berhati-hati dengan ‘saher’, iaitu penguatkuasa perangkap kelajuan yang cukup efisyen di sini dengan denda yang tidak kurang daripada 300 Rial. Sistem yang diintegrasikan secara menyeluruh itu boleh menghalang kita untuk keluar dari negara ini sehinggalah semua saman dilangsaikan. Rakan kami Razif Halim, dengan nama timangannya ‘Bro’, masih mengekalkan rekod ‘saher’ tertinggi setakat ini.
Jadual berpuasa di sini tidaklah dimuatkan waktu ‘Imsak’ seperti di Malaysia. Rujukan kami hanyalah waktu Fajar dan Maghrib untuk mula berpuasa dan berbuka. Hari ini, waktu Subuh dan berbuka masing-masing adalah pada jam 4:15 pagi dan 7:10 malam. Malah waktu azan Isya’ juga diubah bagi memberikan lebih masa untuk kita berbuka dan bersiap untuk berterawih. Dengan arahan dari Kementerian, semua masjid adalah diarahkan untuk memberikan tempoh 2 jam di antara azan Maghrib dan Isya’. Memang terasa agak lapang dan tidak tergesa-gesa untuk ke solat terawih bagi mereka yang berbuka dan bersolat maghrib di rumah.
Manakala semua masjid pula diarahkan untuk memasang pembesar suara sewaktu melaksanakan solat terawih. Kemeriahan ini agak berbeza dengan suasana di Malaysia. Apatah lagi laungan azan dan bacaan sewaktu solat adalah dari orang yang berbahasa Arab. Sudah pasti lunak kemerduannya berbeza dengan suasana di kampong halaman kita. Namun, tetap tidak dapat menandingi keadaan di Mekah dan Medinah yang jauh lebih kami rindui.
Kelebihan kurniaan Allah kepada kami yang bertugas di sini, yang tidak ternilai rahmatnya, adalah Mekah dan Madinah. Kalau mereka dari Malaysia terpaksa berkorban wang, masa dan tenaga untuk merasai suasana berbuka dan berterawih di Masjidil Haram, kami hanya berada 80km darinya. Rezeki dan kesempatan ini tidak wajar dilepaskan sama sekali. Alhamdulillah, peluang di hunjung minggu, pasti akan membawa kami ke sana. Semoga kami diberi kekuatan olehNya. Pada hari ini, En Amir, Shahrizan, Shazril dan Khairi terus ke Mekah dari tempat kerja untuk berbuka dan berterawih di Masjidil Haram.
Amat terasa kerinduan kepada kaum keluarga yang tidak dapat bersama. Ada di antara kami yang datang meninggalkan isteri dan/atau anak-anak. Kemeriahan suasana berbuka puasa bersama anak-anak tetap menjadi kerinduan setiap diri yang berjauhan di perantauan. Kalau yang datang berseorangan, sudah pasti merindui masakan dan lauk pauk hidangan keluarga. Walaupun kita mampu menyediakan juadah yang hampir sama seperti di Malaysia, namun tidak ada yang dapat menggantikan kemesraan berbuka puasa bersama mereka yang tersayang. Ianya satu perasaan yang agak sukar untuk digambarkan.
Suasana kehabisan jari untuk menyangkut plastik bungkusan makanan, hasil tangkapan di Bazar Ramadhan saja yang tak ada di sini. Boleh tersenyum bila teringatkan kisah berebut-rebut membeli juadah di gerai jualan. Membeli mengikut nafsu selera orang kelaparan. Keesokan harinya, ‘Che Pah’ (tong sampah) juga yang mendapat habuan. Sumbangan kurma dan bubur lambuk dari Balai Islam, memanglah tak merasa.
Kalau dulu bersiap-siap untuk mencari tiket bas untuk balik kampong. Ada juga yang dah bersedia dengan kenderaan yang siap diservis untuk pulang ke kampong untuk berhari raya. Kami di sini, terpaksa lebih awal menempah tiket penerbangan demi mengenjar harga yang lebih murah. Kalau tidak melopeh lor den…
Semoga Allah memberi kita semua kekuatan untuk menyempurnakan amalan di Ramadhan tahun ini.
Salam Ramadhan dan Selamat Berpuasa kepada seluruh warga TNB.
No comments:
Post a Comment