Thursday, May 29, 2014

Naiknya Tarif Elektrik di Malaysia


Secara umumnya, masih ramai yang merasakan kononnya bisnes tenaga elektrik elektrik di Malaysia masih dimonopoli oleh TNB.  Adakah pandangan ini mengkhususkan kepada penjanaan, penghantaraan atau pun pengagihan tenaga elektrik? Seandainya dimonopoli, persoalan berikut perlu diketengahkan:

·         Adakah pihak TNB boleh dengan sendirinya membina loji janakuasa berpandukan kepada keperluan tenaga elektrik semasa?

·         Bolehkah TNB menambah atau mengurang kapasti pengeluarannya atau terdapat pihak lain yang mengawalselia sepenuhnya proses kelulusan dan perlesesan yang berkaitan?

·         Adakah TNB mempunyai hak untuk mengulangkaji, menentukan dan seterusnya menguatkuasakan tarif elektrik?

·         Sejauh mana mandat yang dimiliki oleh TNB dalam mengambil tindakan penguatkuasaan berhubung bisnes tenaga elektrik?

Pada hakikatnya, TNB kini masih lagi menjalankan operasi bisnesnya secara dikawalselia (regulated business) oleh pihak kerajaan melalui mandat dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Suruhanjaya Tenaga Malaysia.  Dengan lain perkataan, TNB tidak mempunyai mandat untuk menentukan tarif elektrik yang.  Sebaliknya, ianya adalah ditentukan oleh pihak kerajaan sendiri.

Berdasarkan kepada perbelanjaan modal dan operasinya, TNB perlu memajukan cadangan kepada pengawalselia seandainya wujud sebarang keperluan bagi mengulangkaji tarif elektrik.  Langkah ini adalah bagi memastikan TNB berupaya mengekalkan bisnesnya dan mampu menjana modal untuk membangunkan loji baru dan infrastruktur yang berkaitan termasuk penyelenggaraan dan operasi, serta penggantian kepada loji dan perpasangan sediada.  Dalam masa yang sama, agar TNB mampu menjana hasil dan pulangan yang menguntungkan kepada pelabur dan pemegang saham. 

Pihak pengawalselia industri elektrik di Malaysia, khususnya Suruhanjaya Tenaga, telah memperkenalkan mekanisma Incentive Based Regulation (IBR) dengan hasrat untuk mengujudkan industri  pembekalan elektrik yang lebih mampan melalui sistem yang lebih telus dengan pulangan yang baik serta mampu menggalakkan kecekapan.  Perlaksanaan IBR bertujuan untuk memastikan TNB dikendalikan dengan cekap dan hanya mengenakan bayaran kepada pelanggan dengan tarif elektrik yang kompetitif.  

Pada hakikatnya, adalah tidak tepat untuk mengatakan kenaikan tarif disebabkan oleh kenaikan kos operasi TNB.  Kenaikan ini adalah hasil daripada mekanisma yang dinamakan Imbalance Cost Pass Through (ICPT atau Pelepasan Kos Ketidakseimbangan) yang diperkenalkan dalam sistem penetapan tarif elektrik di Malaysia.  Mekasnisma ini membenarkan TNB sebagai utility pembekalan elektrik, dengan kelulusan pihak pengawalselia, untuk mengulangkaji tarif berdasarkan kepada harga bahanapi yang berada di luar bidang kawalannya.  Kenaikan atau penurunan kos bahanapi yang terpaksa ditanggung oleh TNB, akan diterjemahkan kepada pelarasan tarif, samada naik atau pun turun.  Dengan lain perkataan, TNB akan menyerahkan tanggungan ke atas kenaikan atau penurunan kos bahanapi kepada pelanggan melalui pelarasan tarif (hanya pada komponen bahanapi sahaja).  Ini bermakna tarif juga akan diturunkan seandainya kos bahanapi menurun dan begitu jugalah sebaliknya.

Apa yang berlaku baru-baru ini adalah pihak kerajaan telah menarik balik sebahagian daripada subsidi bahanapi yang diberikan kepada TNB.  Ini bermakna harga bahanapi yang dijual kepada TNB telah meningkat, semakin menghampiri harga pasaran berbanding dengan harga yang dibayar oleh TNB sebelum ini.  Dalam kenaikan tarif pada bulan Januari yang lepas, hanya 18% sahaja daripada kenaikan itu digunakan bagi menampung perbelanjaan untuk pembekalan baru dan penambahbaikan system pengagihan yang mencecah sehingga RM4 billion setahun.  Manakala kos bagi pembaikan dan pembangunan sistem rangkaian penghantaran yang terpaksa ditanggung oleh TNB sehingga RM2.5 billion setahun.  Ini bermakna sebahagian besar daripada kenaikan tarif kali ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga gas dan arangbatu yang masing-masing menyumbang kepada kenaikan tarif pada kadar 78.6% dan 3.4%.  Akhirnya, hasil daripada kenaikan tarif tempoh hari, sebahagian besarnya, pergi kepada pembekal bahanapi, dan bukannya TNB.

No comments:

Post a Comment