Wednesday, November 26, 2014

Ziarah Madinah dan Raudhah - Panduan untuk rakan-rakan

Ziarah Madinah Al Munawarah - Panduan untuk rakan-rakan


Coretan pengalaman ini sekadar untuk berkongsi pengamalan indah ketika menziarahi bumi bertuah, Madinah Al Munawwarah. Ianya juga membawa makna kita menziarai makam Rasulullah SAW dan Masjid baginda.

Janganlah kita melapaskan peluang untuk memasuki kawasan Raudhah (taman syurga) yang terletak di antara Rumah dan Mimbar baginda Rassulullah SAW. Sebaiknya kita membuat sedikit kajian melalui bacaan dan internet yang menyediakan banyak maklumat sebagai panduan. Semakin banyak kita mendalami sejarahnya, semakin delam penghayatan dan pengajaran yang boleh kita pelajari darinya, Insya Allah.

Raudhah

Raudhah adalah suatu tempat di Masjid Nabawi yang terletak antara mimbar beliau dengan kamar (rumah) beliau. Rasulullah menerangkan tentang keutamaan raudhah,

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي قال: “مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ، وَمِنْبَرِي عَلَى حَوْضِي

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Antara rumahku dan mimbarku terdapat taman di antara taman-taman surga. Dan mimbarku di atas telagaku.” (HR. Bukhari).

Bagi kaum lelaki adalah lebih mudah untuk menziarahi Raudhah kerana jadual yang agak selesa berbanding kaum wanita. Buat masa sekarang (Nov 2014), mungkin akan berterusan untuk beberapa minggu lagi, kaum wanita hanya dibenarkan untuk memasuki Raudhah dalam 2 sessi setiap hari,, jam 7 pagi dan jam 7 malam . Dengan penyediaan kawalan dan pengawasan yang teratur oleh pihak pengawal masjid.

Cubalah merujuk kepada bahan bacaan untuk mengenali raudhah dengan lebih dekat. Dengan mengenali beberapa komponen berikut akan membuat kita lebih menghargai sejarah dan perjuangan Rasulullah SAW: Mihrab, Mimbar, Tiang Aisyah, beberapa tiang di antaranya Tiang Taubat, Tiang Ali/Pengawal, Tiang Perwakilan/Wufud, Tiang Jibril, dll......

Sewaktu ziarah dalam, kita berpeluang menziarai tanah perkuburan Baqi' yang terletak di penjuru tenggara Masjid Nabawi. Walaupun kaum wanita tidak dibenar bersama menziarahi makam berkenaan, cubalah meninjau sedikit beberapa papan maklumat yang mengisahkan salasilah dan carta keluarga Rasulullah dan sahabat di luar hadapan pintu masuk ke perkuburan Baqi.

Ambillah peluang untuk cuba mengelilingi seluruh masjid agar kita dapat mengenali ianya secara keseluruhan dan bukan hanya tertumpu kepada satu pintu yang sering kita masuki sahaja. Cuba kenali yang mana satu Bab As-Salam (Pintu No. 1), yang menjadi laluan utama para jemaah lelaki memasuki ruang untuk menziarahi makam Rasulullah SAW. Elok juga kalau kita dapat mengenali (bukan ada fadhilat ape pun, sekadar mengenali) bagaimana urutan pintu-pintu masjid dengan nombor yang meningkat mengikut pusingan arah jam seandainya di lihat dari atas.

Ada banyak disediakan tandas untuk kegunaan jemaah di tingkat bawah ke arah laluan menuju ke tempat letak kereta di bawah masjid. Bayaran hanya SR1 sejam memang memudahkan jemaah.

Mungkin kemudahan restoran dan tempat menjamu selera di Madinah tidaklah sebanyak di Mekah. Namun ada beberapa tumpuan menarik adalah di food court yang berbentuk segitiga (rakan-rakan saya memanggilnya Triangle Food Court, saya pun tak tahu namanya). Ada juga saudara dari kampung saya yang memanggilnya teh tarik (syai halib) corner. Makanan yang dijual dengan harga yang berpatutan. Namun, ramai jemaah haji dan umrah kurang menggunakan kemudahan ini disebabkan mereka telah pun disediakan dengan sajian yang selesa melalui pakej ziarah masing-masing.

...........bersambung.

(kepada rakan-rakan yang berhajat untuk bertanyakan sesuatu secara khusus, bolehlah FB Message..Insya Allah akan cuba saya berkongsi demi manfaat bersama)

Saturday, November 15, 2014

Langit Gelap di Mekah

"LANGIT MERAH SEBELUM GELAP PEKAT DI MEKAH"  


“Langit gelap mcm pukul 9 malam pada waktu 1:30 tengahari di Mekah. Langit pula berwarna merah….…sempat ke kita nak bertaubat ni”…

“Semalam mengikut orang pergi tawaf wida, sebelum cuaca gelap pekat langit kelihatan merah semerah2nya.”

Inilah di antara bebera whatsapp yang saya terima sejak beberapa hari lalu yang meminta saya mengesahkannya.

Respond awal saya…kalut la hampa ni… Kalau langit terang benderang macam pukul 1:30 tengahari ketika hujan lebat di waktu 9 malam di mekah, patutlah kita pakat panik mcm tu…

Pada hari Sabtu yang lepas memang ada sandstorm di Mekah, Jeddah dan sekitarnya. Memang ada hujan lebat, macam ribut juga lah.

Di tanah Arab ni, bila berlaku sandstorm (ribut pasir) memanglah nampak suasana persekitaran kemerahan. Maklumlah pasir dari padang pasir dan tanah dari tapak pembinaan berterbangan.

Tapi kalau setiap kali langit kemerahan, kita rasa nak bertaubat, bagus sangatlah tu. Alhamdullilah. Dan kalau setiap kali langit gelap, kita nak bertaubat, maka itulah yang terbaik. Maka setiap malam kita akan mampu buat solat taubat. Semoga kita semua berusaha ke arah itu.

Langit memang lah gelap di mekah dan Jeddah sewaktu hujan pada hari Ahad yang lepas. Kalau dah langit di sini yang sentiasa terang benderang, tanpa awan, panas terik sentiasa, sekali awan mendung, hujan dan ribut memanglah seraca relatifnya langit dianggap sangat gelap. Cuba bayangkan dataran marmar di hadapan Masjidil Haram yang sentiasa putih bersinar dengan kilauan matahari, tiba-tiba hujan, memanglah patut dianggap amat gelap orang tempatan.

Sekolah di Jeddah pun ditutup dan pelajar dapat pulang awal kerana hari hujan. Pekerja di pejabat pun dapat pulang awal. Tapi mereka semua sedar bahawa ini adalah kerana sebagai langkah berjaga-jaga sendainya berlaku banjir. Di sekitar perumahan kami pun banjir kerana di sini tiada sistem saliran yang baik seperti di negara yang sering disirami hujan.

Tapi yang anehnya, cara hebahan melalui whatsapp, FB dan media social seolah-olah Kaabah sudah dilanda malapetaka yang menghampiri kiamat. Maka ramai yang mengeluh kesah takut tak sempat bertaubat.

Kenapa?

Kalau tak ada ribut di mekah, kita tak perlu bertaubat ke? Atau kalau langit di Mekah cerah, kita tak menghampiri akhir zaman ke? Bukankah panas terik itu juga ujian dari Allah juga ke?

Tetapi selalu juga setiap kali hujan turun, kita sebut ‘hujan rahmat tu’…..jadi hari yang panas itu, bukan cerah yang rahmat ke?
Adakah petanda begini saja yang akan membuat kita perlu mangajak semua untuk bertaubat dan perbanyakkan amal… apa bezanya cuaca hujan menimpa Kaabah di Mekah dan langit cerah menyinari Eifel Tower di Paris? Tidakkah kedua2nya juga sama-sama mengajak kita untuk berusaha bertaubat dan meningkatkan amal.

Tak kiralah apa keadaan sekali pun, umur kita tetap semakin pendek 1 hari daripada semalam. Semakin hari kita semakin menghampiri akhir zaman.

Namun, kalau hujan selama 2 hari menyirami kaabah di Mekah, boleh membuat kita lebih mengingati Allah. Alhamdulillah. Tapi janganlah cuaca baik dan nyaman di Negara kita, tidak pula membuatkan kita juga lebih dekat kepadaNya.

Wallahu’alam. ……………………………………….

Saturday, November 1, 2014

Baitul Barokah Wal Mahabbah - Rumusan Lawatan

Rumusan Lawatan ke Baitul Barokah Wal Mahabbah 


Lanjutan daripada hebahan melalui FB dan Whatsapp serta media sosial mengenai ‘Rumah Anak Yatim’ yang kritikal bekalan makanannya, saya dan keluarga telah berziarah ke sana. Rumusan lawatan tapak disediakan untuk panduan kepada mereka yang berhasrat untuk turut
menyumbang....


Hasil hebahan berkenaan, walaupun dengan gambaran yang kurang tepat, telah membuatkan ramai dermawan dan mereka yang bersimpati menghantar makanan dan barangan keperluan ke premis berkenaan. Alhamdulillah.

Di bawah adalah maklumat yang saya terima melalu media sosial dan saya turut mengedarkannya kepada rakan-rakan.

“Assalamualikum.
Saya (Azarudin) baru hubungi Penjaga Rumah Anak2 Yatim Ust Jaafar. (30/10/2014) Bekalan makanan anak2 yatim (80 orang) di Gincing Salak tinggi ini di tahap kritical. Bekalan makanan cuma boleh bertahan 2 hari saje lagi (30/10/14).
Amat memerlukan bantuan beras, mee hoon, biskut dan barang2 kering yg lain. Kepada sesiapa yg nak menyumbang amat dialu alu kan. Boleh hantar sendiri ke alamat di Jalan Hj Burhan, Salak Tinggi.
Penjaganya ustazah norlida 0105081997 atau ustaz jaafar 0186682732 Akaun Rumah Anak2 Yatim:
Bank: Maybank
Nama Acc: Baitul Barokah Wal Mahabbah No Acc: 562834614558.”

Sebenarnya rumah berkenaan bukanlah Rumah Anak Yatim sepenuhnya. Berdasarkan maklumat hasil perbualan saya dengan Ustaz Jaafar dan Ustaz Aidi, ianya adalah Sekolah Rendah Islam Intergrasi milik persendirian di atas nama Persatuan Kebajikan Baitul Barakoh Wal Mahabbah. Memilik 8 buah rumah yang dijadikan asrama di atas premis sewaan. Seramai 80 orang, kesemuanya adalah anak-anak asnaf zakat, termasuk 10 orang anak yatim.

Hasil hebahan yang dimaksudkan, ianya mendapat simpati orang ramai yang menghantar barangan makanan dan keperluan. Mungkin melebihi daripada apa yang dijangkakan. Alhamdulillah, dengan sedikit suntikan,maklumat, ramai yang tampil memberi sumbangan. Namun, janganlah pula kita melupai rumah-rumah anak yatim lain, yang sentiasa mengharapkan subang bakti daripada kita semua.

Mungkin maklumat yang disampaikan oleh Azarudin tentang keadaan kritikal rumah anak yatim berkenaan yang hampir kehabisan makanan agak kurang tepat. Namun, kesilapan kecil beliau pasti akan tetap mendapat ganjaran besar dari Allah s.w.t. Menurut Ustaz Jaafar, En Azarudin merupakan seorang penyubang setia kepada rumah berkenaan. Syukur Alhamdulillah.

Juga diingatkan bahawa dalam keadaan bekalan makanan yang banyak buat masa ini, ianya akan kehabisan juga. Keperluan bayaran sewaan, bil elektrik dan air juga menjadi sesuatu yang boleh kita manfaatkan sebagai satu amalan sedekah dari kita semua.

Wallahu Alam ……..